Home » » Ulama Abul Hasan Ali An Nadwi, Ketika Wafatnya, Dua Masjid di Dua Kota Suci Mensholatkannya

Ulama Abul Hasan Ali An Nadwi, Ketika Wafatnya, Dua Masjid di Dua Kota Suci Mensholatkannya

Syeikh Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi merupakan seorang ulama dan pemikir Islam yang ulung. Beliau dilahirkan pada 6 Muharram 1333H / 23 November 1914M di Takia Kala, Rae Berily, India. Nama asli beliau ialah Ali bin Abdul Hayy bin Fakhruddin bin Abdul Aliy al-Hasani. Nasabnya sampai kepada Hasan bin Ali bin Abi Talib r.a. Beliau amat beruntung karena dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang amat berpegang teguh dengan ajaran Islam. Ayahnya Sayyid Abdul Hayy adalah seorang ulama di India dan ibunya juga seorang pendidik dan penghapal  al Quran serta syair-syair sejarah Islam dalam bahasa Urdu.
Dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu, tidak heranlah minat membaca beliau terbentuk  sejak kecil . Beliau gemar mengkoleksi  kitab dan mempunyai perpustakaan  sendiri yang dinamakan sebagai Maktabah Abil Hasan Ali (Perpustakaan Abul Hasan Ali).
Sejak kecil juga Syeikh Abul Hasan telah didik dengan berbagai  ilmu pengetahuan meliputi bahasa Arab, nahu, syair, sastera Arab, tafsir, fiqh, hadis dan sebagainya. Banyak  kalangan gurunya datang dari India dan ada juga di antara mereka yang datang dari Madinah. Pada awalnya, beliau hanya belajar di rumah dan di madrasah Nadwatul Ulama. Setelah itu beliau melangkah keperingkat yang lebih tinggi di Universiti Lucknow dan di kampus ini  beliau berhasil mendapatkan nilai tertinggi dalam bidang Bahasa Arab. Kemudian beliau meneruskan lagi pengembaraan ilmunya hingga membawa beliau ke Lahore. Di sinilah dia bertemu dengan seorang sarjana dan pemikir  dunia Islam yaitu Dr. Muhammad Iqbal. Kekaguman beliau dengan karya-karya Iqbal mendorong beliau untuk menterjemahkan beberapa syair Iqbal dari Bahasa Urdu kepada Bahasa Arab, walaupun usianya pada ketika itu hanya sekitar 15 tahun saja.
Sifat Pribadi
Pribadi Syeikh Abul Hasan sangat sederhana, zuhud, berlapang dada serta terpancar keikhlasan dakwahnya sehingga membuatkan beliau disukai dalam pergaulan.
Beliau adalah seorang yang berpribadi zuhud dan tidak membedakan antara manusia dalam dakwahnya,  membuatkan ulama terkenal Mesir, Dr Yusuf al-Qaradhawi pun mengkagumi kepribadian beliau.
Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Saya mengenali kepribadiannya dan juga karya-karyanya. Saya mendapati pada dirinya hati seorang muslim yang sejati dan pemikiran Islam yang asli. Saya mendapati beliau sentiasa hidup dengan Islam dan untuk Islam. Saya kira bukan saya saja yang mencintainya tetapi semua orang yang mengenalinya pasti mencintainya, bahkan siapa saja yang lebih mengenalinya pasti akan bertambah kecintaan terhadapnya.”
Dakwah dan Pendiriannya
Mencontohi pendekatan dakwah ulama’-ulama’ terdahulu seperti Imam As Sirhindi r.a dan Maulana Ilyas r.a, serta beberapa tokoh Islam , Syeikh Abul Hasan telah membawa suatu manhaj dakwah dan tarbiyah yang menyeluruh, dengan menggabung  beberapa manhaj dan pendekatan, menjadi suatu kombinasi di antara gerakan Islam lama yang berkah dengan sistem aplikasi yang bermanfaat. Menurut beliau, kefahaman terhadap dasar-dasar dakwah akan menjadikan seorang dai  benar-benar berdakwah untuk Allah bukan untuk kepentingan pribadi atau kelompoknya atau lainnya. Prinsip yang perlu ada ialah berdakwah untuk kebaikan umat seluruhnya bukan untuk keuntungan kelompok atau diri sendiri. Dasar-dasar yang digariskan beliau dalam melaksanakan dakwah itu merupakan himpunan prinsip  dasar “At Tasallub Fi Al Usul” iaitu tegas pada prinsip dan “Al Murunah Fi Al Wasail” yakni aplikasi  dalam pelaksanaan.
Usaha gigih Syeikh Abul Hasan dalam menyampaikan kalimat haq bukan sahaja dikagumi oleh dunia Islam malah mendapat penghormatan  dari masyarakat Barat khususnya di Eropa. Banyak undangan ceramah dan seminar yang beliau terima dari institusi-institusi terkemuka di Eropa seperti di Geneva, Paris, Cambridge, Oxford, Glasgow, Edinburgh dan Spanyol. Rata-rata dikalangan pendakwah dan mereka yang terlibat dalam dunia pendidikan, baik di Timur maupun di Barat mengenali tokoh ini. Malah adakalanya walaupun tidak berkesempatan mengenali pribadi beliau secara langsung tetapi apabila kita membaca hasil-hasil karyanya kita akan merasakan seolah-olah beliau adalah guru kita yang duduk bersama-sama kita.
An-Nadwi juga begitu peka dengan sistem pendidikan dan banyak mengkritik golongan orientalis yang menyelewengkan fakta mengenai Islam. Dari segi faktor keagamaan, tujuan orientalis adalah menyebarkan agama Kristian dan mencoba memaparkan  keunggulannya dibanding  agama Islam. Di samping itu, mereka coba membangkitkan rasa bangga terhadap kepercayaan mereka ke dalam jiwa anak-anak muda Islam. Dari segi politik, golongan orientalis adalah utusan barat ke negara-negara Islam dengan tujuan membuat penyelidikan yang berhubung dengan adat, bahasa, tabiat dan jiwa orang-orang timur. Melalui cara ini, barat dapat meluaskan kekuasaan dan pengaruhnya ke atas umat Islam. Walaupun begitu, ada juga golongan orientalis yang membuat penyelidikan semata-mata kerana rasa minat mereka terhadap ilmu.
Tujuan orientalis  hanya ingin mencari kelemahan tentang Islam dan mengemukakannya untuk maksud politik maupun keagamaan.

Menurut an-Nadwi, umat Islam sekarang menghadapi kejumudan pemikiran atau mengendapnya kecerdasan akal yang menimpa sarjana Islam atau pusat-pusat pengkajian Islam. Begitu juga, jarang ditemui ulama yang dapat meyakinkan generasi muda mengenai keunggulan Islam dan keabadian ajaran agama dalam menjalani  kehidupan serta menyingkap takbir kelemahan-kelemahan peradaban barat..
Beliau turut menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan kefahaman ini dapat menawan jiwa orang-orang Islam. Antaranya ialah  kelemahan orang Islam dari sudut keimanan, ijtihad dan ilmu pengetahuan. Fikiran menjadi sempit dan keghairahan terhadap agama mereka telah lenyap sama sekali. Dan  para ulama tidak memainkan peranan yang sebenarnya dan tidak pula berusaha untuk memimpin orang Islam lain terutama anak-anak muda Islam. Serta penjajahan yang berlaku ke atas negara-negara umat Islam. Bahkan sebagian orang-orang Islam mengkagumi falsafah barat yang dianggap mengandungi kebenaran dan kemajuan.
An-Nadwi berpendapat bahawa jalan yang paling selamat dalam mendidik umat Islam ialah kembali beriman kepada Alllah sebagaimana Rasulullah dahulu telah melaksanakannya . Kemungkaran dan kerusakan adalah berawal  dari keengganan manusia untuk kembali kepada  nubuwwah. Hanya dengan kembali kepada bentuk didikan awal saja,  manusia masa kini dapat diselamatkan sebagaimana manusia pada zaman dahulu diselamatkan oleh Rasulullah. Oleh itu, beliau menyarankan umat Islam kembali kepada madrasah kerasulan.
An-Nadwi menggunakan manhaj dakwah dengan berdasarkan  kepada al-Quran kemudian hadith dan sirah serta kisah-kisah para sahabat. Ini jelas terbukti dalam bukunya Rawa’i min adab al-da’wah yang mana beliau mengambil contoh-contoh dakwah para nabi-nabi yang bersumberan al-Quran dan al-Hadith.Di samping itu, beliau mengakui manhaj itu mungkin berbeda dari satu tempat dari satu tempat yang lain karena dakwah harus juga melihat kondisi lingkungan. Oleh karena itu, dakwah yang berkesan ialah dakwah yang menyentuh  realita yang ada. Al-Nadwi juga menyarankan memahami al-Quran dengan mendalam, sejarah dakwah dan tokoh-tokoh dakwah serta adab-adab Islam.
Sebuah Karya Yang Membuka Mata Dunia
Siapa yang tidak terkesan bila mana membaca karya agung beliau yang berjudul “Apakah Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Umat Islam” yang pernah pada suatu ketika menggoncang hati para pemimpin dan ulama’ di dunia Arab. Hingga sekarang karya yang berusia lebih 50 tahun itu, tetap menjadi rujukan umat seluruh dunia malah telah diterbitkan dalam berbagai-bagai bahasa seperti Inggeris, Parsi, Urdu, Arab, Hindi, bahasa Indonesia dan lain-lain. Beliau telah berhasil membuka pandangan sempit pemimpin dunia Islam yang menganggap bahwa kekayaan material yang dimiliki oleh masyarakat Eropa adalah segala-galanya sedangkan mereka di sana telah bankrut dari segi pemikiran dan kerohanian. Dengan pandangannya yang tajam, Syeikh Abul Hasan an-Nadwi berhasil membawa suatu pemikiran yang berguna untuk mengeluarkan umat manusia daripada kungkungan hidup jahiliyah modern kepada naungan Islam . Sebagaimana yang beliau nukilkan bahwa hanya umat Islam saja yang layak untuk  mengatur dunia ini, tanpa Islam dunia akan menghadapi penderitaan dan kerugian walaupun manusia memiliki segala kecanggihan dan kemudahan hidup.
Dijemput Ilahi
Setelah hampir seluruh usianya dihabiskan dengan perjalanan ilmu dan dakwah, menyeru umat Islam agar kembali teguh kepada al-Quran dan sunnah, maka pada tengah hari Jum’at, 23 Ramadhan 1420H / 31 Disember 1999M, beliau telah dijemput Allah SWT pulang ke sisiNya ketika sedang bersiap-siap untuk menghadiri solat Jum’at di kediamannya, ketika usianya mencapai 85 tahun. Mengenang jasa beliau yang telah dicurahkan untuk kepentingan agama, maka telah diadakan solat jenazah ghaib di dua tanah suci yaitu di Masjidil Haram di Makkah al Mukarramah dan di Masjid Nabawi di Madinah al Munawwarah pada malam 27 Ramadhan 1420H.
Kepergiannya dirasakan sebagai suatu kehilangan permata yang amat berharga. Perjuangan dakwahnya yang tidak mengenal noda itu, seharusnya menjadi contoh oleh generasi kini. Beliau pernah berpesan kepada generasi muda bahawa para pemuda  Islam yang bakal memimpin umat pada masa akan datang sangat perlu diisi dengan ilmu, tazkiyah ruhiyah, semangat juang dan sifat zuhud dari dunia. Kalau tidak, akan diombang ambing dan akan dipecundangi dalam menghadapi ujian  akhir zaman. Kepiawaian  lidah dalam berucap dan keluasan ilmu belum dapat memberi kesan yang terbaik kalau tidak disertai dengan kekuatan rohani yang mantap.
Selamat jalan wahai mujahid. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat yang luas ke atasmu dan semoga engkau bersama-sama dengan para anbiya’, auliya’ dan para kekasih Allah. Amin.


M.A.Uswah,Sandakan,
Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Jasa Pembuatan Website | Toko Online | Web Bisnis
Copyright © 2011. Nurul Asri - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger